Followers

Nasihat dari Murabbiku

“Menuntut ilmu bukan hanya untuk mengisi otak dan fikiran, tetapi juga untuk memperhaluskan perasaan dan menyuburkan kebijaksanaan. Apa yang dicari bukan hanya semata-mata ilmu, tetapi juga manfaat dan keberkatannya. Justeru, jagalah adab-adab ketika menuntut ilmu untuk memperolehinya.”

“Cintailah Rasulullah dan keturunannya kerana jika hanya berilmu tanpa Mahabbatun Nabi, hati akan menjadi ‘gersang’.”

Sunday, May 20, 2012

Rakan-rakan Sebagai Penunjuk Jalan.

Tulislah sesuatu yang bersifat baik,
maka kebaikannya akan mengalir
kepadamu..


(Pada hari kiamat kelak) orang yang bersahabat saling bermusuhan di antara satu sama lain, kecuali orang-orang yang bertaqwa." (al-Zukhruf:67) 

"Seseorang itu dikenali berdasarkan sahabatnya, maka berwaspadalah / bersikap bijaksanalah dalam memilih sahabat." (Riwayat Ahmad)

Sedikit coretan tentang sahabat


Alhamdulillah, saban hari kenalan saya yang terdiri daripada rakan-rakan FB, bloggers, twitter dan lain-lain makin bertambah. Sahabat satu ungkapan berharga dan permata berharga anugerah Allah swt buat saya. Saya bersyukur kerana dikurniakan teman-teman seperti kalian. Bagi saya, kalianlah teman, kalian jualah penunjuk jalan kebaikan.


Hadith menyebut:


"Bersahabat dengan orang yang soleh dan dengan orang yang jahat persis seperti berkawan dengan pengedar minyak wangi dan tukang besi (yang menghembus bara api). Pengedar minyak wangi sama ada ia memberi anda sebahagian atau anda membeli bau-bauan daripadanya atau sekurang-kurangnya anda mendapat juga baunya. Manakala tukang besi pula samada ia menyebabkan baju anda terbakar atau anda mendapat bau yang hapak." (Riwayat Abu Daud)

Sahabat, 

Saya hanyalah hamba Allah yang biasa, tak punya apa. Kekurangan dan kelemahan yang saya miliki lebih banyak daripada kebaikan yang saya miliki.Segala yang saya tulis, saya kongsi hanyalah sekadar peringatan bersama.Saya juga masih dalam pencarian, masih dalam pendakian mencari makna sebenar erti hidup ini. Dan saya juga masih bertatih-tatih untuk menuju dan mencari cinta Allah dan Rasulullah, justeru janganlah kalian terlalu berharap pada diri ini untuk memimpin kalian.Saya bukanlah insan yang selayaknya apatah lagi berkemampuan untuk tujuan itu. Saya manusia biasa, sering melakukan dosa dan maksiat, justeru tegur dan ingatkanlah saya bila saya leka dan lupa kerana saya insan biasa.

Seperti dalam hadith di atas, pentingnya kita mencari rakan-rakan yang bisa memandu diri ke arah kebaikan sebagai wasilah untuk mendekatkan diri kepada Tuhan. Kalian rakan dan teman saya.Kalian jualah guru-guru saya.Banyak perkara saya pelajari daripada kalian, bahkan setiap perkongsian, tulisan dan post-post daripada kalian menjadi medan muhasabah buat saya untuk memperbaiki segala kekurangan dan kelemahan yang saya miliki. Subhanallah, saya amat bertuah kerana memiliki teman-teman seperti kalian.Semoga Allah merahmati kalian dan meredhai persahabatan ini.Insyaallah.

Akhir kalam, saya mahu menutup bicara saya dengan kata-kata nasihat daripada seorang teman:

"kalau ada 99 kejahatan pada seseorang, maka lupakanlah, lihatlah 1 kebaikan yang dia ada,dan kalau ada 99 kebaikan pada diri kita, maka lupakanlah, lihatlah 1 kejahatan kita itu. Orang ramai mungkin melihat kita sebagai orang yang baik sedangkn kita lebih mengenal diri sendiri & Allah maha menutup kesalahan kekurangan kita"

Kalian teman-teman,kalian jualah ibarat bintang-bintang saya yang bergemerlapan. Maka, tuntunilah diri ini ke arah kebaikan dan bawalah diri ini jauh dari kemaksiatan yang menjerumuskan kita ke lembah kehinaan.Wallahu 'alam.

-alfaqirah wal haqirah ilallah-

Wednesday, May 16, 2012

Isham As Syar’abi Ibrah dari Kisah Nabi Yusuf

Pemuda soleh ibrah dari Kisah Nabi Yusuf,
Semoga Allah mengurniakan wanita solehah buatmu

Beberapa hari yang lalu, alhamdulillah dengan izin Allah, hafalan dari Surah Yusuf sudah berjaya saya tamatkan. Inilah surah yang agak sedikit sukar bagi saya untuk menghafal dan mengingatinya memandangkan terlalu banyak kalimah yang seakan sama tetapi berlainan dari segi barisnya. Masih saya ingat, ketika berada di sebuah maahad tahfiz dahulu, inilah satu-satunya surah yang kami sekelas kena mengulangi hafalan dari surah ini sebanyak dua kali.

Apa yang uniknya berkenaan surah ini, sungguh pun agar sukar untuk dihafal, tetapi jalan cerita dalam Surah Yusuf ini amat indah. Inilah satu-satunya surah yang mengandungi kisah cinta terindah yang telah dikisahkan oleh Allah swt.Nak tahu lebih lanjut, baca dan hayatilah isi kandungan surah ini (^^)

Menyebut tentang kisah Nabi Yusuf as, hari ini saya terbaca sebuah berita yang dipetik dari sebuah akhbar, kisah berkenaan seorang pemuda Yaman yang diuji oleh Allah swt dengan ujian  fitnah 5 wanita Amerika Syarikat ke atas dirinya untuk mengajaknya melakukan hubungan maksiat. Apa yang cukup membuatkan saya kagum, dengan izin Allah, pemuda ini diteguhkan imannya agar tidak mengikuti telunjuk nafsu yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan.

Atas tekad dan azam serta berbekalkan keimanan dan ketaqwaan kepada Rabb Yang Maha Agung, untuk menyelamatkan dirinya dari berbuat maksiat dan menjauhi fitnah dari wanita-wanita ini, pemuda ini nekad untuk terjun dari tingkap biliknya setelah wanita-wanita tersebut dalam keadaan tanpa pakaian kesemuanya mengunci pintu bilik pemuda ini setelah memecah masuk ke apartmennya..

"Allahu Allah..Rahmatilah pemuda ini, kurniakanlah ia sebaik-baik wanita solehah dan sebaik-baik zuriat yang soleh-solehah atas sifat ketaqwaannya kepadaMU ya Allah.allahumma amin3x"

*************
Berita berkenaan kisah penuh yang berlaku ke atas pemuda ini:

Seorang pelajar Yaman yang tinggal di Arizona dipaksa untuk melakukan perzinaan oleh 5 pelajar Amerika Syarikat di apartmennya yang berdekatan dengan kampus tempat ia belajar.

Sebagaimana dilaporkan oleh Al Arabiya 13 Mei 12, lima perempuan itu merupakan teman satu fakulti memasuki apartemen tempat tinggal Isham As Syar’abi. Mereka berbogel setelah mengunci pintu apartmen untuk menghalangi pelajar Yaman tersebut melarikan diri.

Namun pemuda itu berjaya keluar dari apartmen setelah melompat melalui tingkap biliknya. Setelah keluar Isham segera melapor ke pos keselamatan terdekat hingga pengawal keselamatan itu  menangkap 5 pelajar tersebut. 

Menurut hasil penyidikan, diketahui bahawa pelajar wanita itu telah berkali-kali mengajak Isham melakukan perzinaan. Namun pemuda Yaman itu menolaknya kerana menurutnya hal itu dilarang oleh agama jika tidak didasari oleh pernikahan.

Komen Weblog Ibnu Hasyim:

" Begitulah sikap seorang pemuda Islam tulin, ia tetap mengikuti peraturan yang diperintahkan kepadanya.  Ia tetap patuh kepada resepi atau menu oleh pencipta agama yang dianut itu."

*************
Ulasan saya berkenaan kisah pemuda soleh ini:

"Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."


Tatkala habis membaca kisah yang berlaku ke atas pemuda ini, ini komentar yang dapat saya ketengahkan. Subhanallahi wa bihamdihi subhanallahil 'azim hanya lafaz tahmid yang dapat saya lafazkan. Bagi saya, pemuda soleh ini adalah pemuda contoh jelmaan dari kisah yang berlaku ke atas Nabi Yusuf as. Ayuh, saya mahu mengajak para pembaca budiman membuat perbandingan diantara kisah yang berlaku ke atas Nabi Yusuf as tatkala baginda digoda oleh isteri pembesar Mesir dan kisah pengalaman pemuda Yaman ini sendiri.

Secara jujurnya saya katakan seandainya kita adalah manusia yang normal, kita juga mempunyai perasaan fitrah itu, fitrah yang menyukai pasangan yang berlainan jenis.Namun, fitrah ini perlulah disalurkan ke jalan yang betul.Tiada jalan yang lain dicadangkan oleh Islam kepada ummatnya melainkan dengan cara pernikahan bagi menghalalkan hubungan lelaki dan wanita.

Ok.Baiklah, sekarang mari kita bandingkan dua-dua kisah di atas. Kisah Nabi Yusuf VS Kisah Pemuda Yaman ini.

*****************

Kisah Nabi Yusuf Vs Kisah Pemuda Yaman

Melalui Surah Yusuf, dikisahkan setelah baginda mula menginjak dewasa (menjadi seorang pemuda) maka penampilan dan ketampanan baginda semakin terserlah.Lantaran keindahan dan keelokan rupa paras dan tubuh baginda telah menyebabkan ibu angkatnya iaitu isteri pembesar Mesir pada ketika itu telah jatuh hati dan tertawan kepada baginda. Justeru apabila suaminya tiada di rumah, beliau mengambil peluang untuk menggoda Nabi Yusuf as dengan memasang tipu helahnya. Ini disebutkan di dalam Surah Yusuf pada ayat 23:

"Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata: "Marilah ke mari, aku bersedia untukmu". Yusuf menjawab: "Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memuliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya".


Sama seperti dalam kisah Nabi Yusuf, pemuda Yaman ini berhadapan dengan godaan dan ujian yang sama iaitu adalah wanita. Bukan seorang tetapi 5 orang wanita.Bahkan cara yang sama juga digunakan oleh isteri pembesar Mesir turut diguna pakai kembali oleh wanita AS yang tekad untuk menggoda pemuda Yaman ini iaitu dengan  cara menutup dan mengunci pintu bagi menghalang pemuda ini dari terlepas daripada godaan mereka. Sama bukan ujian dan teknik kedua-duanya di dalam kisah ini?

Pada ayat seterusnya Allah swt berfirman:

"Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa."


Dikisahkan lagi, sungguhpun berhadapan dengan godaan yang agak berat ini, akhirnya Nabi Yusuf as juga dapat menahan nafsu dan dirinya dari terjerumus ke lembah maksiat dengan bantuan dan keizinan daripada Allah swt.Demikian juga dalam kisah pemuda Yaman ini, berbekalkan dengan perasaan taqwa (takut) kepada Allah swt, akhirnya Allah swt meneguhkan keimanan pemuda ini, dengan mencampakkan perasaan takut kepada azab Allah itu lebih dari segalanya.

Kerana sifat taqwa inilah akhirnya pemuda soleh ini membuat keputusan yang tekad untuk terjun dari tingkap apartmentnya bagi menyelamatkan dirinya dari berbuat maksiat dengan wanita-wanita AS tersebut. Allahu Allah..Allahul musta'an.

Lihatlah, apabila keimanan itu semakin teguh dan tertanam di dalam diri, kemanisannnya akan dirasai oleh pemilik diri itu. Memetik kata-kata hukamak:

"Cinta seseorang itu menyebabkan ia buta"

Cinta yang saya maksudkan adalah cinta kepada dan kerana Allah. Cinta kepada Allah menyebabkan Nabi Yusuf as rela dipenjarakan untuk beberapa tahun lamanya bagi mengelakkan diri terjerumus ke lembah maksiat .Dalam surah Yusuf ada disebutkan permohonan Nabi Yusuf :

Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya".


Ya, benar, inilah rayuan cinta Nabi Yusuf kepada Tuhannya. Baginda lebih menyukai dirinya dipenjarakan daripada memenuhi keinginan wanita-wanita yang berkehendakkan akan dirinya.  Baginda lebih rela meringkuk dalam penjara demi untuk mengelakkan diri daripada melakukan apa yang tidak disukai oleh kekasihnya. Subhanallah, tabarakallah..

Lihatlah betapa hebatnya kuasa cinta agung ini. Demikian juga cinta ini dapat kita lihat dalam diri Rasulullah saw dan para sahabat tercinta. Kerana Allah segalanya sanggup digadai dan dikorbankan agar ajaran Islam tersebar ke seluruh dunia. Saudara-saudara kita khususnya di bumi Syria dan Palestin juga tidak kurang hebatnya. Kerana cinta kepada Allah, Rasulullah dan agama Islam tercinta, mereka sanggup mengorbankan harta dan nyawa demi menegakkan kalimah tauhid tercinta.

" Allahu Allah..rahmatilah saudara kami, izinkan kami berjiran dengan mereka di akhirat kelak.allahumma amin3x"

Berbalik kepada kisah pemuda Yaman ini pun tidak kurang hebatnya, kerana rasa cintanya kepada agama dan Rabb tercinta, beliau sanggup mengambil risiko nekad terjun dari tingkap apartmentnya daripada melakukan perbuatan terkutuk bersama wanita-wanita AS itu.

" Allahu Allah, kekalkan dan teguhkanlah keimanan pemuda ini sehingga ke akhirnya.Moga bidadari syurga menjadi milikmu di dunia dan akhirat kelak.allahumma amin3x"

Apabila seseorang itu menjaga hak Allah, Allah swt akan menjaga hak  dirinya dan memuliakannya.=)

ﺇﺣﻔﻆ ﺍﻟﻠﻪ ﻳﺤﻔﻈﻚ

***************


7 Golongan Yang mendapat Naungan di Hari akhirat kelak

Daripada Abu Hurairah (ra , Rasul SAW itu berkata: 7 golongan yang akan mendapat naungan daripada Allah swt pada hari yang tiada padanya naungan adalah:
  • Pemimpin yang adil;
  • pemuda yang masanya dihabiskan untuk beribadah kepada Allah SWT;
  • seseorang yang hatinya terpaut pada masjid;
  • 2 lelaki yang berkasih sayang, bertemu dan berpisah kerana Allah SWT;
  • lelaki yang digoda oleh perempuan cantik dan berpengaruh untuk melakukan maksiat tetapi dia menolak dengan mengatakan Aku Takutkan Allah;
  • seseorang yang bersedekah dan menyembunyikannya sehingga tangan kanannya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kirinya;
  • dan seseorang yang mengingati Allah ketika bersendirian sehinggakan mengalir air matanya kerana Allah SWT.”
(Riwayat Muslim)

***********

Konklusinya:

Apa yang boleh saya simpulkan:

1-Wanita itu merupakan fitnah terbesar bagi kaum adam.Setinggi dan seteguh manapun imanmu, berhati-hatilah terhadap wanita.

Sabda Nabi s.a.w :
ما تركت بعدي فتنة أضر على الرجال من النساء
” Tidak aku tinggalkan fitnah yang lebih dahsyat ke atas kamu selepas pemergianku melainkan fitnah kaum wanita “
[ H.R Bukhari ]
2-Teguhkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah.Senang kata perkukuh asas agama dan cinta kepada Allah dan Rasulullah untuk berhadapan dengan ujian dunia yang amat mencabar.
3-Dalam apa jua tindakan, letaklah Allah swt ditangga paling hadapan.
4-Kejarlah redha Allah walau dengan murkanya manusia kepada diri kita, jangan kejar manusia dengan murkanya Allah kepada diri kita.
5-Rajin-rajin baca Quran, fahami,hayati dan hadamkan keseluruhannya serta jadikan ianya sebagai panduan hidup kita.
Akhir kalam, semoga kisah ini dapat memotivasikan kita semua=)
Dicoretkan oleh: 
Al-faqirah wal haqirah ilallah, Siti Fatimah Binti Abd. Ghaffar
Sumber berita:

Tuesday, May 1, 2012

PBAKL 2012






Murabbi tercinta sedang melayan
karenah saya:)

Kali ini, kali ke 4 saya turun ke KL dalam bulan April. 28 April 2012 dalam planner tertera majlis walimah seorang sahabat lama ex SAMTH serta Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012.

Hampir setiap tahun boleh dikatakan saya tidak pernah miss ke PBAKL yang diadakan. Alhamdulillah. Cuma tahun ini, tidak pun merancang untuk turun ke PBAKL, namun, kerana ingin memenuhi permintaan dari seorang sahabat yang saya sayang memandangkan kami sudah lama tidak meluangkan masa bersama  sejak masuk ke kampus Kuantan, maka saya menyambut pelawaannya.

***********

Dalam masa yang sama sebenarnya agak sedikit sedih dan kecewa kerana setelah menerima pelawaan dari sahabat ini, adik-beradik talaqi yang saya sayangi merancang untuk menziarahi seorang ibu angkat kami  yang baru pulang dari melakukan umrah (kami lebih mesra memanggil beliau dengan panggilan ''ibu'') di rumah beliau.

Kami mula mengenali ''ibu'' dan anak-anak ibu ketika di dalam sebuah majlis Haul di Masjid Panglima Perang, Kuantan Pahang.Menjadi semakin rapat dengan ibu apabila salah seorang daripada anak ibu adalah anak murid Ustaz Uwais yang selalu kami temui pada setiap minggu dalam kuliah ustaz di Masjid Al-Hidayah, Alor Akar. Oleh kerana sudah berjanji dengan sahabat untuk ke PBAKL, maka pelawaan untuk ke rumah ibu terpaksa saya tolak, walaupun teringin sangat mahu menziarahi ibu.

*************
Subhanallah, rupa-rupanya perancangan Allah swt itu amat indah buat saya:)

Dalam kesedihan, Allah memujuk saya dengan beberapa berita gembira.Pada hari jum'ah yang penuh barakah, saya menerima berita gembira daripada murabbi tercinta, Al-Fadhil Ustaz Muhadir Bin Haji Joll bahawa buku terbaru ustaz yang bertajuk ''Keajaiban Firasat'' baru terbit di pasaran. Allahu Allah hati sangat riang dengan berita yang diterima.Alhamdulillahi 'ala kulli nikmah.

Seminggu dua minggu yang lalu saya sering terfikir berkenaan sebuah buku yang ustaz pernah minta untuk saya menyemaknya ketika saya berada di CFS PJ suatu ketika dahulu. Buku yang penuh dengan kisah-kisah yang boleh melunakkan hati. Bahkan ada antara kisah yang terdapat di dalam buku itu menyebabkan saya mengalirkan air mata. Dan terlintas di fikiran saya, andai buku ini sudah siap diterbitkan saya mahu segera mendapatkannya kerana kisah-kisah yang terdapat di dalam buku ini amat istimewa.

Dan tanpa saya sangka terdapat satu lagi berita gembira yang saya terima, khabar dari murabbi tercinta, ustaz akan berada di booth Galeri Ilmu atas jemputan penerbit. Masyaallah, rupa-rupanya ada hikmah Allah memilih saya untuk menemankan rakan untuk ke pesta buku walaupun tidak berpeluang untuk  ke rumah ibu. Hikmahnya, mungkin Allah mahu menemukan saya dengan murabbi yang dikasihi. Alhamdulillah.

**************
Koleksi terbaru yang sempat saya borong:)



PBAKL 2012

Kami tiba hampir zuhur di PWTC, singgah sebentar ke beberapa gerai-gerai buku. Dan kami juga ke kedai buku Galeri Ilmu.Alhamdulillah, di sana saya temui buku terbaru karangan murabbi tercinta. Lebih dari 5 buah buku tersebut saya ambil dan membelinya memandangkan ada antara sahabat-sahabat yang tidak dapat hadir mengirim agar buku tersebut dapat saya belikan untuk mereka. Sedang ralit memilih buku-buku terdengar pengumuman dari pihak Galeri Ilmu bahawa sesi petang ini akan dihadiri oleh beberapa orang penulis ke booth Galeri Ilmu, antaranya ialah Murabbi tercinta dan beberapa orang penulis lain.

Tersenyum apabila kami mendengar nama guru kami disebutkan (^_^)

Usai membeli kami segera ke surau bagi menunaikan solat fardhu zuhur. Alhamdulillah kami tiba agak awal dan tidaklah perlu beratur panjang untuk mengambil wuduk. Usai berwuduk segera kami menunaikan solat jamak qasar.

***************


Hajat

Memang sedari menerima khabar gembira dari murabbi tercinta, saya memasang hajat untuk menemui beliau. Lantas, sebelum masuk waktu solat saya menghantar sms kepada beliau:

''Assalamualaikum.ana ada di pesta buku dan sudah membeli kitab terbaru ust.Sekiranya diizinkan Allah, ana akan temui ust di booth  Galeri Ilmu..insyaallah''

Lalu sms saya dijawab oleh murabbi tercinta:

''Waalaikumsalam.MaasyaAllah..ahlan bik fatimah. Ust belum sampai ke sana lagi.InsyaAllah sktr 2.30-3 pm ust sampai''

Sms tersebut saya respon semula:

''Khair tidak mengapa ust, sementara menunggu ust tiba, ana dan sahabat ana ke gerai-gerai buku lain terlebih dahulu.Semoga Allah memudahkan perjalanan untuk tiba di sini,insyaallah, biiznillah''

Sms dari ustaz:

''Khair fatimah''

Azan zuhur berkumandang saya menunaikan solat zuhur. Selepas solat zuhur, saya teringat kata-kata seorang sahabat suatu ketika dahulu:

''Kadang-kadang bila kita sudah dekat dengan sesuatu perkara itu, ia boleh jadi jauh dengan kita. Dan ada pula kadang-kadang kita jauh dengan sesuatu perkara itu tapi ia boleh jadi dekat dengan kita''

Terus teringat hajat yang tersimpan di hati, mahu menemui ustaz.Apa yang saya fahami, benar saya sudah sampai ke PBAKL dan semakin hampir dengan hajat saya, namun, hajat tersebut boleh jadi menjadi jauh dari saya atau senang kata saya tidak akan berjaya menemui ustaz andai Allah tidak mengizinkan. Dan boleh jadi sahabat-sahabat yang tidak hadir kerana jauh barangkali hajat mereka lebih mudah tertunai berbanding dengan saya sekiranya Allah swt mengizinkan ia berlaku.

Justeru solat sunat hajat 2 rakaat ditunaikan dengan memohon agar hajat di hati Allah makbulkan. Benar, kita merancang dan Allah jua merancang. Maka sandarkanlah perancangan kita kepada DIA.DIAlah penentu segalanya.

************
Promo buku baru murabbi tercinta:)

Usai solat, kami ke gerai-gerai buku di bahagian hall atas. Berjalan dari satu kedai ke satu kedai. Menemankan sahabat mencari buku..alih-alih saya yang terlebih banyak memborong buku-buku =)

Menerima sms dari murabbi tercinta:

''Assalamualaikum. Fatimah, ust dan zaujah ada di booth Galeri Ilmu skrg''

Subhanallah, hati saya amat-amat gembira. Masyaallah, saya sangkakan ustaz hadir secara berseorangan ke PBAKL tanpa ditemani ustazah. Rupa-rupanya inilah salah satu lagi berita gembira yang Allah ingin berikan kepada saya, ingin menemukan saya buat kali ketiga dengan insan istimewa yang menjadi sayap kiri perjuangan ustaz selama ini. Alhamdulillah3x

Sms dari murabbi tercinta segera saya reply:

''Khair, ana turun ke bawah sekarang ust''

Kaki mula melangkah menuruni ke tingkat bawah. Segera menuju ke gerai Galeri Ilmu. Seawal menjejakkan kaki ke dalam. Mata terfokus dan tertumpu pada sesusuk tubuh bertudung ungu lembut dan berjubah ungu yang cukup saya kenali  walaupun pada ketika itu beliau berdiri membelakangkan saya.Lantas, saya segera menyapa:

''Assalamualaikum ustazah''

Segera tangan ustazah saya salam dan cium.

Tanpa sempat berbicara lebih panjang, ustazah terlebih dahulu mendakap dan memeluk saya erat. Allahu Allah, ustazah masih dapat mengingati dan mengecam raut wajah saya sungguh pun saya dalam keadaan berpurdah. Subhanallah, amat terharu.

Pelukan dileraikan. Kami mula bertanya khabar. Kali terakhir bertemu ustazah tatkala di program IIUM Kuantan.Banyak perkara yang saya pelajari dari insan istimewa ini. Masih teringat kata-kata beliau ketika di Kuantan dahulu:

''Nama enti fatimah, enti lebih hampir dengan Allah dan Rasulullah''

Dan pesanan beliau kepada saya dan adik-adik talaqi yang lain sebelum meninggalkan bumi IIUM Kuantan:

''Jadilah, wanita solehah''

Subhanallah, tidak terfikir Allah akan beri peluang kembali untuk menemui zaujah murabbi tercinta. Alhamdulillah :)

Meneruskan bicara..

''Ustaz baru sahaja masuk ke dalam tadi Fatimah'' tutur ustazah penuh kelembutan.

''Khair, tidak mengapa ustazah, sebentar lagi ana temui ustaz'' saya memberi respon.

Usai berbual-bual buat seketika, saya memohon diri untuk menemui ustaz yang berada di dalam booth Galeri Ilmu.

******************
Senyuman gembira terukir di wajah
murabbi tercinta atas kehadiran saya:)

Saya menuju ke susunan rak-rak buku yang ada di situ. Dari jauh kelihatan kelibat murabbi yang saya kasihi sedang bercakap-cakap dengan pemilik atau pengurus Galeri Ilmu barangkali. Saya sekadar memerhati dari satu sudut yang jaraknya antara saya dan keduanya lebih kurang sehasta.Tidak mahu menggangggu perbualan kedua-duanya.

Tidak sampai hampir 5 minit berdiri di situ. Kehadiran saya disedari oleh murabbi. Beliau segera menghampiri. Lantas bertanya khabar kepada saya seperti kebiasaan. Beberapa staf Galeri Ilmu memandang seakan pelik. Seolah-olah saya dan murabbi sudah lama kenal antara satu sama lain.

Kiriman salam dan hajat daripada sahabat-sahabat yang tidak dapat hadir saya sampaikan. Salam dijawab oleh ustaz dengan senyuman yang begitu gembira terukir diwajahnya. Barangkali ustaz gembira dengan kehadiran saya dan ditaqdirkan Allah, sayalah orang yang mula-mula ustaz temui sebelum peminat-peminat mahupun anak-anak murid ustaz yang lain menemui ustaz.

Masyaallah, subhanallah, alhamdulillah. Betapa besar dan banyaknya nikmat Allah terhadap diri hambaNYA ini.Semoga saya digolongkan dalam kalangan orang-orang yang sentiasa bersyukur.allahumma amin3x.

**************
Buku-buku terbaru ustaz yang saya beli tadi beralih tangan untuk diberikan kepada ustaz, agar hajat sahabat-sahabat dapat dipenuhi. Ustaz menandatangani buku-buku tersebut dan kerana keberkatan dan kemuliaan ustaz jualah, dua beg paper Galeri Ilmu saya terima bagi menggantikan plastik yang mengandungi buku-buku yang dibeli. Allahu Allah terasa seperti eksklusif sekali kerana dilayan bagai seorang tuan puteri dan VVIP . Alhamdulillah, semuanya kerana barakah seorang guru. Jika tidak, masakan pula saya dilayan seperti itu:)

Usai menandatangani buku-buku, kami meneruskan perbualan. Berkongsi berbagai-bagai cerita dan soalan. Perbualan kami terhenti apabila pihak Galeri mempersilakan ustaz ke ruang temu bual bagi meneruskan slot temuduga bersama penulis.

Dalam slot ini banyak persoalan berkisar tentang buku terbaru ustaz yang bertajuk ''KEAJAIBAN FIRASAT ''

Alhamdulillah video temubual ustaz sempat saya rakam menggunakan handphone yang sentiasa bersama di tangan walaupun saya agak segan untuk merakam wawancara tersebut.

***************



Buku Keajaiban Firasat

Antara kupasan dan persoalan yang menarik di dalam buku ini:

Persoalan:

''Hanya terdapat 63 kisah sahaja mengapa tidak kurang atau lebih dari 63 Kisah?''

Jawapan ustaz:

''63 Kisah kerana mengambil keberkatan umur baginda saw ketika wafat''

Persoalan:

''Banyak-banyak kisah dalam buku ini, kisah manakah yang paling ustaz suka dan yang paling menyentuh hati ustaz? ''

Jawapan ustaz:

''Kisah terakhir, kisah berkenaan kewafatan Nabi saw. Kerana baginda terlalu sayang kepada kita selaku ummatnya''


Sebelum berangkat pulang, saya meminta ustaz menitipkan pesanan beliau kepada diri ini melalui kitab baru tersebut. Beberapa rangkaian ayat-ayat dinukilkan atas kitab terbaru saya sebagai pesanan dan nasihat sebagai panduan buat diri yang sering kali lalai. Setiap tinta tulisan ustaz ibarat permata berharga buat saya=)

****************

Usai urusan di Galeri Ilmu saya tidak lupa mengunjungi beberapa buah kedai buku kegemaran antaranya Pustaka Syeikh Nuruddin, Pelima Media, Telaga Biru, Al-Hidayah serta gerai-gerai buku yang lain.

Asalnya niat di hati hanya mahu menemani seorang rakan yang mahu ke pesta buku, last-last bukan rakan saya yang banyak membeli buku, tukang teman yang terlebih banyak beli buku:)

************

Usai penjelajahan ke PBAKL 2012, kami pulang menaiki KTM untuk ke UKM, Bangi bagi menziarahi dan menumpang di rumah ibu saudara sahabat saya yang berhampiran dengan terminal bas Kajang. KTM Putra pada petang itu agak sesak dengan mereka yang baru pulang menyertai demonstrasi BERSIH 3.0.

Kami mengucap panjang, nampak gayanya mungkin kami akan tiba lewat malam di Kajang kerana barisan untuk membeli tiket begitu panjang dan ramai. Allahu Allah. Alhamdulillah, lebih kurang setengah jam beratur untuk membeli tiket, akhirnya Allah memudahkan urusan kami. Cumanya di dalam train KTM agak begitu padat dan sesak dengan orang ramai. Kami memasuki koc yang mempunyai ruang untuk di masuki, namun, bukanlah koc wanita. Pada awalnya saya sekadar berdiri. Namun, syukur pada Allah swt di pertengahan perjalanan apabila penumpang mula menuruni train terdapat ruang kosong untuk saya dan beberapa orang penumpang wanita duduk di kerusi. Alhamdulillah.

Sepanjang perjalanan membelek-belek buku terbaru murabbi tercinta yang bertajuk ‘’Keajaiban Firasat’’. Sedar tak sedar hampir sepuluh bab sempat saya khatamkan di dalam train.Alhamdulillah. Buku terbaru ustaz ada aura tersendiri. Walaupun hanya baru membaca beberapa buah kisah, hati rasa kagum dan tersentuh.


Ya, buku inilah yang pernah saya semak sewaktu di CFS PJ dahulu. Masyaallah, tabarakallah.Sekali lagi hajat saya dipenuhi oleh Allah swt. Memiliki buku yang pernah saya semak suatu ketika dahulu.Alhamdulillah:)


*************



Alhamdulillah lebih kurang hampir jam 7 malam, kami selamat tiba di Kajang, rumah mak cik sahabat saya. Dan amat menggembirakan apabila tiba di sana, terdapat seorang kanak-kanak comel, anak buah sahabat saya yang berusia 1 tahun lebih. Kami memanggilnya aliya. Pada mulanya si kecil ini kelihatan pendiam. Tapi bila saya sudah mula melayannya, dia menjadi peramah dan semakin mesra sehingga tersilap memanggil saya dengan panggilan ‘’ummi’’  :) 

************

 Kami pulang ke Kuantan pada pagi Ahad. Alhamdulillah selamat tiba di kampus dalam jam 3 pm.Syukur kepada Allah swt yang memudahkan segala-galanya.

Usai solat, saya diziarahi oleh adinda-adinda talaqi tercinta, ateh dan ucu. Mereka hadir mengirimkan buah tangan dari Haramaian yang dikirimkan oleh ibu. Allahu Allah, hati tersangatlah gembira menerima pemberian dari ibu. Tambahan pula kedua- dua hadiah dari ibu juga adalah barang yang pernah saya impikan. Alhamdulillah, terima kasih ya Allah. Jadikanlah aku dari kalangan hamba-hambaMU yang sentiasa bersyukur.

************

Alhamdulillah, benar-benar terasa manisnya hidup ini andai segala hajat dan impian disandarkan kepada Allah. Apabila sentiasa yakin kepadaNYA dan mengutamakanNYA dalam setiap tindakan kita:)

Sekian..

p/s: Saya pantang nampak buku-buku dan kanak-kanak. Pasti akan mudah tertewas dengan kedua-duanya..

Sollu 'alan nabiyy! (,'')

سبحان الله وبحمده، سبحان الله العظيم

سبحان الله والحمدلله ولا إله إلا الله والله أكبر

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ النَّبِيِِّ الأُمِّيِّ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسلِّمْ

Wallahu 'alam demikianlah catatan sepanjang PBAKL 2012.


>>Al-Faqirah wal Haqirah ilallah<<


Wednesday, April 18, 2012

Istikharah, Dan Istisyarah.

''Kalau suka tapi masih belum tiba masa yang sesuai (still study ke, kewangan belum cukup ke, ilmu agama belum mantap ke) diam diam je, cerita dengan Allah je. Suatu masa nanti, akan tiba jua. jangan gopoh. Sekian''

Penjelasan yang cukup baik berkenaan topik ''Istikharah, Dan Istisyarah.'' dari Hilal Asyraf .Terasa kebenaran dari tulisan beliau..

Istikharah. Popular di alam para muslim dan muslimah kala bercinta. Yang menggeletek jiwa saya pula adalah, istikharah ini hanya sibuk diperkatakan untuk perkahwinan sahaja.
Sedangkan, istikharah ini sebenarnya bukanlah satu perkara yang khusus untuk mereka yang mahu berkahwin semata-mata. Bukan ‘alat pencari jodoh’. Bukan juga alat ‘penentu’ mana yang patut menjadi pasangan kita. Tetapi istikharah ini adalah apa yang dididik oleh Rasulullah SAW kepada kita, dalam hendak membuat apa-apa sahaja keputusan.
Namun, apabila ‘sesetengah pihak’ mula menganggap ianya ‘alat pencari jodoh sebenar’ yang kononnya ‘tepat 100%’, maka mulalah istikharah menjadi satu punca kekeliruan hati. Bukan lagi yang membantu menenangkan jiwa dan men’thabat’kan kalbu kita.
Mengapa saya nyatakan demikian?
Di lembaran ini saya berkongsi.
Istikharah, Bila Menjadi Satu Fitnah.
Fitnah. Bukanlah ‘cakap benda tidak betul fasal fulan bin fulan atau fulanah binti fulan’. Bukan. Tetapi interprestasi fitnah yang sebenar adalah ujian yang menduga kepercayaan.
Di dalam situasi pergerakan ke arah rumahtangga ini, istikharah juga boleh menjadi satu fitnah.
Bagaimana?
Saya berikan beberapa situasi yang popular.
1 – Fulan bin Fulan telah bertunang dengan fulanah binti fulan, kemudian fulan bin fulan ini pergi beristikharah lagi selepas telah bertunang, tiba-tiba dia ‘nampak’ perempuan lain dalam mimpinya. Terus dikatakan itu adalah ‘petunjuk istikharah’ dan kemudiannya dia hendak memutuskan pertunangannya dengan fulanah binti fulan, kerana dirasakan bahawa Allah telah tunjukkan bahawa pertunangannya itu satu kesilapan.
2 – Fulan bin Fulan sedang mencari seseorang untuk dijadikan isteri. Akhirnya, dia beristikharah. Dia nampak Fulanah binti Fulan. Terus dia menyatakan hasratnya kepada Fulanah binti Fulan itu. Tetapi Fulanah binti Fulan menolak, namun Fulan bin Fulan ini berkeras dan mengugut bahawa Allah memang sudah takdirkan mereka bersama, berdalilkan istikharahnya. Membuatkan Fulanah binti Fulan serba salah untuk menolak ‘wahyu Ilahi’ ini.
3 – Fulanah binti Fulan, beristikharah, dan ‘nampak’ Fulan bin Fulan. Tetapi Fulan bin Fulan tidak pula dikenalinya. Tidaklah pula mampu dicapainya. Pada masa yang sama, datang pula Fulan bin Fulan yang lain, melamarnya. Fulanah binti Fulan ini ‘hold’ dahulu untuk menerima Fulan bin Fulan yang kedua, semata-mata kerana merasakan jodohnya dengan Fulan bin Fulan yang ‘dilihatnya’. Walaupun dia sedar, dia tak mampu mencapai, mendekati, mendapatkan Fulan bin Fulan yang dilihat dalam istikharahnya itu.
Ya. Ini beberapa situasi. Serabut bukan? Hati jadi keliru, jiwa jadi serabut, kalbu rasa kontang.
Bukankah sepatutnya istikharah itu meyakinkan?
Jadi, mengapa boleh begini?

Istikharah, Dan Istisyarah.
Istisyarah. Satu perkara yang manusia sering lupa. Istisyarah adalah seperti kita meminta pendapat orang lain(Ibu Bapa contohnya), mengumpul maklumat dan pandangan terhadap situasi yang sedang kita berhadapan dengannya. Dalam konteks kita sekarang, situasi hendak memilih pasangan.
Ramai meninggalkan perkara ini.
Ini adalah antara sebab mengapa Istikharah menjadi satu perkara yang kemudiannya menyerabutkan jiwa. Kerana akhirnya kita menganggap Istikharah itu MEMANG ‘alat pencari jodoh’. Kemudian, dari celah mana, kita yakin bahawa istikharah itu akan datang dalam bentu mimpi dan tanda-tanda ajaib(nampak wajah seseorang di langit, contohnya).
Di celah-celah kepercayaan seperti inilah, syaitan menyusup dan menyuntik ‘was-was’ serta keraguan dan kekeliruan.
Kerana itu, mimpi hakikatnya tidak akan boleh menjadi dalil. Petanda-petanda ‘ajaib’ itu, bukannya dalil. Dan bukanlah sesuatu yang mesti, pada orang beristikharah, jawapannya adalah mimpi dan petanda-petanda itu.
Kadangkala, kita yang sibuk memikirkan ini dan itu, maka ia keluar dalam bentuk mimpi. Maka, apa pun yang kita nampak, kita ‘lihat’ apa yang kita nak. Di situ, kita keliru, dan kemudian sibuk menyatakan ‘Inilah dia petunjuk Tuhan’!
Kita lupa untuk bermesyuarat dahulu dengan keluarga. Sepatutnya, kita bentangkan pilihan-pilihan yang ada, dan bincangkan pro dan kontranya setiap pilihan. Di situlah kita menilai dan mengimbang. Kalau dengan itu telah kita dapat nampak yang mana pilihan yang terbaik, maka istikharah tidak diperlukan. Jika kita rasa tidak yakin, barulah istikharah. Bila istikharah yang pertama tidak mendatangkan keyakinan, buatlah istikharah yang kedua dan ketiga. Kemudian tetapkanlah hati, dan buatlah pilihan!
Rasulullah SAW juga, ada beberapa situasi penting, baginda tidak melakukan istikharah. Kerana baginda telah yakin, pilihan itu adalah pilihan yang tepat.
Contohnya dalam peperangan Badar, Rasulullah SAW hendak memilih satu kawasan yang jauh dari mata air. Para sahabat pula mencadangkan agar dipilih tempat yang dekat dengan mata air. Rasulullah SAW selepas mendengar penerangan betapa pentingnya membuat kem dekat dengan mata air, terus menerima cadangan sahabat itu, tanpa diriwayatkan melakukan istikharah. Kerana, cadangan itu memang relevan dan jauh lebih baik dari cadangan baginda yang pertama tadi.
Ketika peperangan Khandaq pula, apabila Salman Al-Farisi mencadangkan untuk menggali parit, Rasulullah SAW menerimanya tanpa beristikharah. Kerana cadangan itu memang dalam pertimbangan, adalah yang terbaik.
Hadith berkenaan Istikharah pun, tidak menunjukkan kewajipan dalam melakukannya:
Daripada Jabir bin Abdullah RA berkata : “Adapun Rasulullah s.a.w. mengajarkan kami Istikharah dalam melakukan sesuatu perkara sebagaimana baginda mengajarkan kami satu Surah daripada Al-Quran. Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda : Apabila merancang salah seorang daripada kamu dalam sesuatu perkara, maka hendaklah dia melakukan solat sunat dua rakaat..” Hadith Riwayat Imam Bukhari.
Hadith ini umum. Bukannya disebutkan bahawa ‘wajib melakukan istikharah’. Ini terbukti, apabila Rasulullah SAW sendiri, dalam beberapa hal, tidak pula melakukan istikharah.
Kemudian, tidak pernah diriwayatkan apabila Rasulullah SAW telah membuat keputusan, baginda beristikharah lagi. Tidak pernah.
Justeru, sesiapa yang telah membuat keputusan, hingga telah bertunang contohnya, maka buat apa beristikharah lagi? Hiduplah dengan keputusan yang telah dilakukan itu. Berusahalah dengan apa yang telah berada di dalam tangan. Melainkan, ketika pertunangan itu, berlaku perselisihan, atau telah jelas kita dengan tunang kita tidak serasi, maka di situ bolehlah kita lakukan istikharah. Bukan istikharah untuk cari jodoh lain, tetapi istikharah untuk ‘apakah putus tunang ini baik untuk aku dan dia?’. Begitu!
Dan semestinya, istisyarah jangan ditinggalkan dalam situasi sedemikian. Berbincanglah dengan keluarga, minta pendapat orang-orang tua yang kita kenali, ustaz ustazah yang kita rapati.
Daripada Rasulullah SAW sendiri kita belajar. Bukan daripada orang lain.
Rasulullah SAW, manusia yang Allah paling kasih. Tidak pula baginda meninggalkan mesyuarat bersama manusia, mengambil pandangan mereka, mempertimbangkannya. Di sini Rasulullah SAW mendidik kita. Yang kita perlukan adalah apa yang Allah telah ajarkan kita. Di situ, kita membuat keputusan, berdasarkan selagi keputusan itu tidak bercanggah dengan perintahNya dan ajaranNya. Bukannya kita meletakkan bulat-bulat kepada mengangkat kepala ke langit, menanti ‘wahyu yang baru’!

Istikharah dan Saya.
Saya istikharah tiga kali.
Pertama, sebelum memberitahu abang perempuan yang saya cintai bahawa saya berhajat nak menjadikan adiknya isteri saya.
Keduanya, ketika saya berpeluang menjejakkan kaki ke tanah haram, Makkah dan Madinah. Di situ saya meminta kepada Allah SWT, agar jika perasaan yang ada di dalam jiwa saya itu hanya mainan, saya minta disisihkan. Saya minta petunjuk kepada Allah SWT, apakah pilihan saya ini benar, atau sepatutnya saya tidak membuat pilihan ini? Begitu.
Ketiganya, apabila saya mendapat panggilan daripada Sang Abang, bahawa Ibu kepada perempuan yang saya cintai ingin menghubungi saya berkenaan anaknya. Saya pantas meminta masa seminggu. Seminggu itu, saya berusaha solat istikharah saban malam, dan meminta kepada Allah SWT agar membantu saya membuat pilihan. Saya masih ingat ketika itu saya meminta:
“Ya Allah, lepas ini, kalau aku kata ‘ya’, tak ada patah balik. Maka tunjukkanlah aku. Janganlah perasaan ini main-main. Jika main-main, buanglah ia ya Allah.”
Tetapi selepas seminggu, keyakinan saya semakin menebal untuk menyatakan ‘Ya, saya ingin memperisterikan perempuan yang saya cinta’.
Maka apabila Ibu kepada perempuan yang saya cinta, menghubungi saya di Jordan, sedangkan dia di Malaysia sana, saya dengan yakin menyatakan: “Ya makcik, Hilal suka pada anak makcik. Memang benar-benar nak memperisterikan anak makcik.”
Saya masih ingat bagaimana sembang-sembang kami berlaku. Bermula dengan tanya khabar dan berbasa basi bertukar cerita, masuk kepada soalan cepu mas daripada Ibu perempuan yang saya cinta.
“Dengar kata, Hilal suka anak makcik. Benarkah?”
Saya mula rasa segan. Risau kalau Ibu kepada perempuan yang saya cinta, tidak suka dengan saya mencintai anaknya. “Makcik tak sukakah?”
“Cakaplah dulu, betul ke?”
“Ya makcik, Hilal suka pada anak makcik. Memang benar-benar nak memperisterikan anak makcik. Makcik marah ke?”
“Eh, tak adalah. Kenapa haritu masa datang rumah, tak cakap awal-awal?”
Ya. Begitulah. Selepas itu, saya tidak pernah beristikharah lagi. Kerana keputusan telah dibuat, dan Ibu kepada perempuan yang saya cinta merestui, begitu juga ayahnya. Saya memilih untuk yakin. Dan mengusahakan apa yang ada.
Perkara itu dirahsiakan kepada perempuan yang saya cintai, kerana pada ketika itu dia baru habis SPM dan baru nak memulakan pengajian di Universiti. Saya sendiri memahami keadaannya, dan meminta Si Ibu untuk merahsiakan terlebih dahulu, hingga bila saya sendiri ingin melamarnya.
Namun, apa yang menariknya dalam perjalanan cinta saya adalah, belum saya melamar, saya sudah di’reject’ oleh perempuan yang saya cinta beberapa bulan selepas sembang-sembang dengan Si Ibu.
Rupa-rupanya, Si Ibu risaukan saya, membuatkan dia bertanya kepada anaknya akan saya.
Anaknya tidak mahu bersuamikan saya.
Nah, menarik kan?
Perkara ini akan saya sambung di lembaran lain.

Penutup: Bersederhanalah.
Istikharah ini adalah untuk menjemput keyakinan dalam membuat pilihan. Tidak semestinya datang petandanya dalam bentuk mimpi dan petanda-petanda. Dan, sekiranya datang sekalipun, istikharah kita tidak boleh menjadi dalil dalam memaksa seseorang, menderitakan seseorang.
Saya bila kena reject, tidaklah pula saya menghubungi perempuan yang saya cinta, dan menceritakan dia istikharah saya. Menggugut dia dengan istikharah saya. Sebab saya jelas memahami bahawa, ada kemungkinan saya yang tidak pandai menilai sebuah istikharah. Ada kemungkinan, dia ini sekadar satu ‘checkpoint’ untuk saya sampai kepada pasangan saya yang sebenar. Begitulah saya positifkan hati saya. Bukan pergi ugut-ugut dia dengan menceritakan bahawa istikharah saya sekian dan sekian.
Sentiasalah berpijak di alam realiti. Bermesyuaratlah, berbincanglah.
Saya bila kena reject itu, Ummi Abah adalah yang saya cari.
“Ummi, Hilal kena rejectlah.”
“La, ya ke? Sabar ya.”
“Ummi bolehlah kut carikan yang lain.”
“Eh, sabar dulu. Kita bagi masa.”
Begitulah Ummi. Dan itulah dia istisyarah yang saya lakukan. Benda ini saya akan kupas lebih panjang, menceritakan hari-hari saya di’reject’. Jangan ingat saya dapat semua benda yang saya mahu. Allah, Dia sentiasa mengaturkan saya ujian demi ujian, untuk saya meningkat tahap demi tahap. Saya sentiasa yakin dengan itu.
Pokok pangkalnya, istikharah bukan ‘alat ajaib penentu jodoh dengan tepat’.
Istikharah hanyalah satu galakan, untuk kita bergantung kepada Allah, dalam membuat keputusan. Tanpa menafikan, bahawa Allah SWT dan RasulNya juga, menggalakkan bermesyuarat dan meminta pendapat manusia lain.
Pendek kata, bersederhanalah. Imbangilah dengan baik.
Jangan hingga istikharah kita menjadi fitnah!
Tambahan ilmu dari seorang sahabat yang soleh merangkap guru saya, akh Azri Hilmi Mansor:
 guru kami ada menyebut,"selalu org terlupa mendahulukan pembuka dan terus masuk kpd wasilah penyelesai (istikharah,istisyarah).pembuka yg dilupakan itu ialah solat sunat taubat yg disusulkan dgn solat sunat hajat.solat taubat utk membersih diri,diikuti solat hajat utk memperbetul & menguatkan niat,barulah masuk kpd pertimbangan & keputusan (istikharah,istisyarah)"
p/s: jangan terlalu tergesa-gesa dalam membuat keputusan.Moga kesilapan lalu menjadi pengajaran dan iktibar..

~perjalanan hidup ini masih terlalu jauh~